BAB 2
SEJAK tadi, Adan
teragak-agak hendak bangkit dan menuju ke tempat di mana Alaina dan adiknya
duduk di belakang bas. Setelah peristiwa
tadi, Alaina langsung tidak memandang dia.
Pelajar
Tingkatan 6 Atas itu memang tidak banyak bercakap. Itulah yang dia dengar dari perbualan
cikgu-cikgu. Kehidupan dan keluarga
Alaina juga misteri. Dengar kata, sejak
daripada Alaina menghadapi PMR, SPM… dia hanya sendiri menghadiri program
motivasi biarpun syaratnya perlu bersama ibu dan bapa.
Kala menerima
anugerah untuk salah seorang pelajar terbaik SPM juga, Alaina menolak daripada
hadir ke majlis itu. Adan pelik, mengapa
gadis sepintar itu mahu menyambung pengajian di Tingkatan Enam? Sedangkan mencurah-curah tawaran ke
univerisiti yang hadir. Semua guru-guru
bercerita tapi Alaina tetap tenang.
Hanya tersenyum setiap kali menerima persoalan tapi Adan yakin, di balik
senyuman itu, ada pedih yang menggigit rasa.
‘Ya Allah… apa
aku nak buat ni?’ Hati Adan bersoal sendiri.
Dia meraup wajahnya berkali-kali.
Mujur juga dia
terserempak dengan Alaina. Andai tidak,
dia tidak dapat bayangkan apakah lelaki tadi sanggup lakukan pada Alaina. Dia yang dalam perjalanan ke Bandar untuk
mengambil kereta yang baru siap dibaiki benar-benar terkejut bila melihatkan
wajah Alaina seperti baru terkena hujan.
Menggigil kesejukan atau takutkan amarah lelaki tadi, Adan tidak
tahu.
‘Kalau pergi,
risau menimbulkan fitnah. Tapi, dia
pelajar aku jadi sepatutnya tak ada masalah,’ bisik hatinya lagi.
Adan yakin
itulah kampung Alaina selama ini. Agak
jauh juga Alaina bersekolah. Matanya
meliar memerhatikan sesekeliling.
Tidaklah sesak bas kala ini dan ramai juga orang. Jadi, mereka akan terselamat daripada
fitnah. Bukan dia tidak tahu, mulut
manusia lebih berbisa. Lebih tajam dari
mata pedang.
Dia sendiri
beberapa kali digosipkan dengan pelajar perempuan di sekolahnya memandangkan
dia masih membujang kerana usianya masih agak muda. Baru setahun dua dia membina kerjaya setelah
lulus daripada UPSI dua tahun dulu.
Adan mengucap
beberapa kali. Istighfar tak putus dari
bibirnya. Alunan zikrullah juga terus
membasahi bibirnya. Dia berdebar. Setiap kali terpandang Alaina, dia merasa
lain. Pelajar ini istimewa dan misteri. Kerana itu, jarang sekali dia memandang
Alaina biarpun terserempak di kantin, di perpustakaan atau di mana-mana saja.
Adan mahu
menjaga pandangan mata. Dia tidaklah
alim tapi didikan keluarganya kemas terpahat dalam hati. Menjaga pandangan sesama bukan muhrim. Menjaga hati biarpun dia makin yakin yang
hatinya itu sudah pandai menyebut nama Alaina apatah lagi melihatkan wajah
mendung itu tadi.
Kepalanya
ditoleh perlahan. Alaina diam memeluk
adiknya. Memandang ke arah kehijauan
padi yang terbentang. Memujuk hati
barangkali, tebak Adan.
“Niat dah betul
ni. Allah jadi saksi,” gumam Adan
positif.
Dia langsung
bangkit dan menapak segak menuju ke arah Alaina.
“Assalamualaikum,
Alaina,” sapa Adan. Cermin matanya
dibetulkan sedikit. Cuba menyembunyikan
resah bila mata Alaina tepat memandang dia.
“Wa...
walaikummussalam, cikgu,” jawab Alaina gagap.
Dia terlalu ralit tadi mencerna apakah yang bakal terjadi selepas ini.
Kepala Adiana
yang terlena dibetulkan sedikit. Dia
sempat menjeling ke arah Adan yang duduk di sebelah sana, sebaris dengannya.
“Maaf, saya
ganggu awak. Tapi, awak nak ke mana?” Adan mula menyoal namun mata itu tidaklah
mampu ditala pada Alaina sepenuhnya. Hanya
dijeling sesekali untuk melihat riak wajah mulus milik Alaina.
“Tak apa,
cikgu. Cikgu tak mengganggu pun dan
pasal tadi, saya nak ucapkan terima kasih,” ucap Alaina. Langsung tidak menjawab soalan.
Adan tersenyum
sinis. Wajah itu dikerling lama. “Kalau dalam periksa awak jawab macam ni,
memang tak lulus awak ni, Alaina,” tegur Adan berlapik.
Alaina
terngadah. Melihatkan senyuman Adan buat
pertama kalinya membuatkan dia merasa lain.
Dia tahu dia tersilap kerana tidak menjawab soalan itu namun dia sendiri
tidak temui jawapan yang perlu dia utarakan.
Dia tiada
tujuan. Tiada jalan dan tiada papan
tanda arah yang harus dia ikuti. Wajah Adan
dipandang. Kemudian dia menggeleng.
“Saya tak ada
tujuan lagi, cikgu?”
Mata Adan
membulat. Kali ini, tubuhnya turut sama
menghadap Alaina. Dia terkejut dengan
jawapan gadis itu.
“Apa maksud
awak, Alaina?” soal Adan tidak puas
hati.
Alaina gigit
bibir. Mata Adan yang merenungnya tidak
mampu dia tatap. Bimbang airmatanya
mengalir. Melihatkan Cikgu Adan, dia
terungkit kembali cita-cita yang melangit tinggi.
“Tak ada maksud
apa-apa, cikgu,” tukas Alaina menyembunyikan hakikat.
Adan
mengeluh. Dia sedar, dia tidak mampu
memaksa Alaina menjawab. Tapi, sejak
akhir-akhir ini, dia jarang melihat Alaina di sekolah. Biasanya, andai tidak di kantin, pasti di
perpustakaan.
“Beberapa hari
ni, saya tak nampak awak dekat sekolah? Awak
kenapa? Tak sihat?” tanya Adan prihatin.
“Saya sihat
cikgu. Saya ada masalah keluarga sikit…”
“Masalah
keluarga yang membuatkan awak nak lari
dari rumah?” sindir Adan sambil
menjeling ke arah beg pakaian Alaina
yang ada di kaki.
Sekali lagi,
Alaina rasa terhenyak. Dia tidak mahu
lari daripada kampung itu tapi dia tidak mampu lagi. Mereka berdua sebatang kara.
“Saya tak lari,
cikgu tapi saya perlu pergi,” jawab Alaina tenang.
Bibirnya menguntum senyum lagi dan Adan pantas
melarikan pandangannya. Dia mengucap
panjang dan beristighfar berkali-kali.
“Tapi,
kenapa? Tadi tu, sampai nak kena
langgar. Terkejut kami dalam bas
ni. Bila saya turun, nampak pulak awak…
macam nak luruh jantung saya. Tu adik
awak ke?” Bibir Adan terjuih sedikit
pada Adiana yang sedang lena.
Alaina senyum
dan mengangguk. Suasana kembali
sepi. Melainkan hanya angin yang
berhembus masuk melalui kekisi cermin bas yang tidak ditutup rapat.
“Sekolah
macam mana, Alaina?” Tercetus lagi
soalan dari mulut Adan.
“Saya tak nak
sekolah dah, cikgu. Otak saya tak mampu
nak terima pelajaran dah,” balas
Alaina.
Dia mahu
meyakinkan Adan yang dia benar-benar memilih untuk tidak mahu bersekolah. Alaina bertekad, dia tak mahu menampakkan
yang dia terpaksa memilih. Dia mahu Adan
nampak yang dia tidak berminat lagi hendak menuntut ilmu.
“Jangan bohong,
Alaina. Wajah awak menunjukkan
selainnya. Tak lama lagi nak puasa dah. Awak nak pergi mana? Tak kesian ke dekat orang tua awak tu?” tanya Adan lagi dan kali ini sedikit mendesak.
Wajah Alaina
berubah. Mereka sudah tiada ayah. Yang tinggal hanya ibu dan itupun terkurang
di dalam hospital gila. Tidak tahu
hendak berkata apa-apa lagi, dia membawa pandangannya ke arah bendang yang
terbentang luas. Semakin jauh dan terus
menjauh meninggalkan hampung halaman.
Dalam pada dia
melayani perasaan tanpa menghiraukan Adan, telinga tersapa akan bingitnya bunyi
dari corong radio yang sengaja dikuatkan.
“Hah, dengar
ni. Kampung Haji Daim, isteri tak waras,
bunuh suami sendiri.” Pemandu bas itu
mengulang berkali-kali ayat yang sama keluar daripada corong radio.
Tubuh Alaina
terkaku. Duduknya tegak hinggakan Adiana
terjaga dari lena. Dia dan Adan
berpandangan.
“Kampung tu kat
mana, bang?” tanya penumpang yang lain pula.
“Kat belakang
tadi. Yang masa kita brek kecemasan tadi
tu,” jawab pemandu yang berbadan gempal itu.
Liur yang
ditelan terasa kelat. Alaina mahu
menangis. Pantas berita tersebar. Biarpun radio tempatan namun dia yakin,
kampung-kampung terdekat akan ketahuinya juga.
“Itu kampung
awak ke, Alaina?” Wajah Adan penuh rasa
ingin tahu.
Alaina
diam. Mengangguk tidak, menggeleng juga
tidak. Hanya mendengarkan hukuman yang
dibacakan pada ibunya kerana kesalahan itu.
“Awak kenal ke
siapa keluarga tu? Kesiannya. Kalau kata ada anak, macam manalah, ya?” Adan menyoal lebih pada dirinya sendiri bila
dia sedar, soalan itu hanyalah di angin lalu saja pada Alaina.
“Alaina…” Suara Adan lembut menyeru Alaina sekali
lagi.
“Saya cikgu di
sekolah awak. Biarpun tak pernah
mengajar awak tapi saya tetap berhak bertanya masalah pelajar-pelajar,” sambung
Adan.
Dia tidak tahu
lagi, harus bagaimana dia hendak memujuk Alaina bersuara. Ternyata benar apa yang diperkatakan sebelum
ini tentang Alaina. Gadis ini terlalu
pendiam. Terlalu berat bibirnya hendak dibuka.
“Saya
betul-betul nak berhenti, cikgu,” jawab Alaina.
Adan tersenyum
tipis kerana berjaya membuatkan gadis itu berkata-kata tapi dia tidak mampu
tersenyum lebar bila Alaina berkata demikian.
“Apa masalahnya?”
“Saya mampu
tanggung masalah saya sendiri, cikgu.”
“Sekali lagi
awak tak menjawab soalan Alaina…” Adan
menggeleng.
Dia sedikit kesal
dengan sikap Alaina ini. Langsung tidak
mahu menghargai pertolongan yang dia mahu hulurkan.
Niatnya baik. Segalanya kerana Allah. Emaknya sentiasa berpesan, wanita perlu
dijaga maruah dan kebajikannya. Yang tersisih
perlu dibela, yang kesusahan perlu dibantu.
“Saya tak ada
jawapan, cikgu…”
“Ada, Alaina…
ada. Setiap masalah ada jalan
penyelesaiannya. Setiap soalan ada
jawapannya. Tinggal kita je nak
selesaikan dan nak jawab ke tidak soalan tu.
Allah bagi jalan lain pada setiap pintu yang tertutup. Allah bagi pintu lain tapi kita manusia ni
sering kali terpaku pada satu pintu yang tertutup itu sampaikan kita tak sedar,
pintu lain yang sedang terkuak lebar tu, akhirnya tertutup dengan sendirinya,”
ucap Adan perlahan.
Dia benar-benar
memaksudkannya. Dia mahu Alaina mengerti
akan perkara yang mahu disampaikannya. Penuh
makna tersirat di sebalik apa yang dia suratkan secara lisan itu.
“Saya tak ada
pintu untuk memilih, cikgu dan saya nekad nak berhenti sekolah,” tegas Alaina
mempertahankan niatnya.
“Betul tu,
Alaina… Tapi, nak berhenti sekolah pun ada prosedurnya, kan?” soal Adan.
“Biarlah
saya kena buang je. Saya tak kisah…”
“Awak juga tak
kisah bila nama awak blacklisted. Dibuang,
diberhentikan? Bukan awak yang meminta
nak berhenti?” sinis Adan lebih daripada
tadi.
Hati Alaina berdetak
hebat. Selama ini, dia nampak tenang
pada wajah Adan dan hari ini juga sama. Namun,
kala ini, dia bagaikan mencabar kesabaran lelaki muda di hadapannya kini. Umur mereka tidaklah jauh terjarak. Rasanya Adan baru saja mencecah 28 tahun dan
dia sendiri sudah berusia 19 tahun.
“Tak kisahlah,
cikgu. Saya dah tak peduli semua tu!” tekan Alaina bersama senyuman yang
menggambarkan keyakinan dalam dirinya biarpun dia sendiri kecewa dengan
keputusannya.
Pada dia, tiada
sesiapa yang tahu akan derita yang ditanggung.
Tak mungkin ada seorang pun yang akan memahami jerih payah dia kala
ini. Mata bundarnya menjeling pada
Adiana. Ini tanggungjawab dia
sekarang. Ini amanah yang dia terima
daripada ayah sebelum ayahnya menghembuskan nafas yang terakhir.
Sudahnya, bas
terus meluncur laju menghala ke destinasi sedangkan Alaina menolak petunjuk
arah yang Adan mahu berikan. Adan
mengeluh di dalam hati, Alaina menjerit sendiri. Tuhan Maha Adil. Tidak selamanya dia akan begini. Dia akan bahagia. Bisik Alaina membiarkan Adan berperang dengan
tanggungjawab seorang cikgu dan perasaan seorang lelaki yang berdegup hatinya
kerana gadis ini.
**
PUAN MARYAM
sudah tidak terkata apa dengan sikap anak sulungnya itu. Semakin ligat di luar sana. Pedih telinga kala jiran-jiran menyampaikan
cerita yang Mikhail berkepit dengan wanita sana-sini.
Jam
berdetik. Dia semakin resah menantikan
Mikhail muncul. ‘Lewat-lewat malam macam
ni, bukan nak jumpa pintu rumah!’ keluh hati Puan Maryam.
Setelah puas
mundar-mandir di tengah-tengah ruang tamu rumah lot dua tingkat peninggalan
arwah suaminya, daun pintu ditolak daripada luar dan dia yakin yang itulah anak
lelakinya. Langkahnya pegun. Dia berdiri tegak menanti Mikhail
muncul.
“Eh, mama. Tak tidur lagi ke?” soal Mikhail berlagak
polos sambil menutup pintu berwarna coklat gelap itu.
Mata Puan Maryam
terjegil. “Cantiknya soalan anak mama
ni? Masuk rumah dah tak reti bagi salam
ke, Khail?” tegur mamanya sinis.
Mikhail
tersenyum menyenget. “Good night, mama. Khail naik tidur dulu,” ujar Mikhail tidak
mempedulikan sindiran mamanya.
Dia tahu mamanya
memang begitu tapi wanita itu amat sayangkan dia. Mahu tidak sayang sedangkan dialah anak
lelaki dalam keluarga ini. Dia hanya
punyai seorang adik perempuan saja yang menjadi penawar dan racun pada mamanya.
Kaki Mikhail
laju menapak menuju ke arah tangga. Matanya
sudah terasa rabak. Dia benar-benar
kepenatan seharian menemani Juana pada hujung cuti begini. Mujur saja esok adalah hari minggu. Andai tidak, dia pasti bercuti kecemasan
lagi.
“Mama tak habis
cakap lagi, Mikhail!” tegur Puan Maryam
menghalang langkah anak lelakinya itu.
Mikhail berdecit
sedikit. Dia tak jadi melangkah. Tubuh sasanya dipusingkan 180 darjah,
memandang wajah ayu wanita yang menjadi kesayangannya itu. Tangannya bertongkat pada pagar tangga. Bibir merahnya menguntum senyum.
“Kita sambung
esok, ya?” ujar Mikhail sedikit
merengek.
“Kalau esok mama
hidup lagi!” sinis Puan Maryam membuatkan senyuman Mikhail mati.
Perlahan-lahan
dia menapak ke arah mamanya dan meraih tangan wanita itu lembut. Digenggamnya erat dan terasa sedikit dingin.
“Mama jangan
cakap macam ni?” pinta Mikhail. Dia menggeleng.
Mikhail tidak
mahu mamanya berkata demikian. Padanya,
hadirlah bidadari sekalipun, dia pasti tidak mampu tanpa mamanya.
“Mama harap mama
tak tutup mata sebelum mama lihat kamu berubah, Khail. Sampai bila nak macam ni? Sampai bila nak buat maksiat? Berkepit dengan perempuan sana-sini. Nak-nak yang bukan Islam pulak tu,” tegur
Puan Maryam.
Mikhail
mengeluh. Genggaman tangan terlerai
lantas dia menghenyakkan punggungnya pada sofa berwarna kuning air itu.
“Diorang tu
semua kawan, mama…” Mata mamanya
dipandang lagi.
“Kamu bukan lagi
umur untuk berkawan dan bergaul bebas macam tu, Khail. Kamu dah besar panjang. Sampai bila nak buat dosa macam ni?”
Puan Maryam
benar-benar sedih kali ini. Kelopak
matanya terasa suam. Pertama kali dia
rasa mahu menitiskan airmata di hadapan Mikhail. Selama ini, berbuih mulutnya menasihati Mikhail
tapi langsung tidak diendahkannya.
“Mama… Khail tak
buat apa pun…”
“Berpeluk di
tempat umum tu kamu kata tak buat apa-apa?”
bentak Puan Maryam memangkas.
Sabarnya hampir
hilang biarpun dia baru saja selesai menunaikan solat sunat dan masih lagi di
dalam wudhuk.
“Ni mesti ada
yang report, kan?” telah Mikhail curiga.
“Report atau tidak, itu tak penting. Tapi, hati mama dan pandangan Allah itu yang
paling penting Khail. Ini dah nak masuk
bulan Ramadhan. Apa persediaan kamu
untuk sambut Ramadhan ni? Cari helah
untuk ponteng puasa lagi? Macam tu?” marah
Puan Maryam. Dadanya berombak kencang
menahan geram yang beraja di hati. Boleh
mati terkejut dengan anaknya yang seorang ni.
Mujur juga si
adik tidak seperti ini. Mujur amat bila
Malisa masih mahu mengikut apa yang diajar.
“Ala, mama. Puasa nanti, Khail puasalah. Bukan selalu
ponteng pun. Sesekali je dan memang masa
tu Khail gastrik,” dalih Mikhail lagi.
Mata Puan Maryam
membulat. Semakin geram dibuatnya dengan
budak seorang ni. Dia mula bercekak pinggang. Wajah Mikhail direnung tajam.
“Kalau betul
kamu puasa pun tapi tak solat, tak menjaga sikap, pandangan mata, mulut,
telinga dan segalanya tak ada guna puasa kamu tu, Khail. Baik jangan puasa!”
“Hah, kalau
macam tu, Khail tak payah puasa. Tapi,
mama jangan bising pulak,” ujar Mikhail loyar buruk. Dia tesengih sumbing bila dia mampu
permainkan mamanya. Tiada niat lain,
sekadar mahu meredakan wajah tegang itu saja.
“Astaghfirullah,
Mikhail. Mama tak tahu siapa kamu
sekarang ni. Betul ke kamu anak
mama? Anak yang mama kandungkan
dulu. Yang mama lahirkan dengan susah
payah dan besarkan dengan penuh kasih sayang setelah arwah papa tak ada. Sampai hati kamu kata macam tu, Khail.” Kata-kata Puan Maryam lirih.
Mikhail terngadah. Gurauannya tidak menjadi kali ini. Silap percaturan, mamanya mungkin menangis
dan dia tidak mahu mamanya mengalirkan airmata.
“Mama…” Mikhail
bangkit dari duduk. Jemari mamanya
diraih lagi.
“Khail minta
maaf. Khail gurau je tadi. Khail tak buat semua tu. Mama jangan risau, ya?” ujar Mikhail meyakinkan mamanya.
Puan Maryam menggeleng.
“Puasa saja tak cukup, Khail. Banyak
yang kamu perlu jaga di samping tu. Nak-nak nasfu kamu tu.”
Mikhail
terdiam. Dia pantas mencerna kata-kata
mamanya. Tidak mahu berbalas kata lagi,
bimbang mamanya akan terus berkecil hati.
“Kalau kata kamu
nak berpeluk sana sini… mama nasihatkan kamu cari seorang perempuan yang elok,
kamu nikahi dia. Halal untuk kamu gauli
dan bukan membawa dosa malah dapat pahala lagi.
Jangan seksa mama dan arwah abah dengan sikap kamu ni, Khail,” ujar Puan
Maryam dan dia berlalu pasrah.
Kepalanya dipicit-picit. Sungguh kepalanya terasa berat. Entah mengapa, dia terasa beralah amat pada
arwah suaminya. Dia sudah tewas mendidik
Mikhail berjalan di atas jalan yang lurus kerana semakin hari, semakin bengkok
jalan yang dipilih oleh anaknya itu.
“Mama, kenapa?”
Malisa menyoal kala bertembung dengan mamanya di anak tangga. Tiada jawapan, hanya keluhan semata-mata dan
tahulah Malisa, pastilah kerana abangnya.
“Abang ni suka
buat mama marah!” gumam Malisa geram
sambil menghantar susuk tubuh mamanya dengan pandangan sayu hinggakan susuk
tubuh itu hilang di balik pintu bilik.
“Uiks… Lisa ada
kat rumah?” tanya Mikhail kala ternampak
kelibat Malisa yang mendekat padanya.
Jangan kata
Malisa juga mahu tazkirahkan dia setelah mamanya. Kata-kata mamanya tadi pun tak mampu dia
cerna dengan baik lagi. Ini, andai mahu
ditambah dengan bebelan Malisa, cair otaknya nanti.
“Abang ni, kan…” Baru saja Malisa hendak membuka mulut,
Mikhail menggawang-gawangkan tangannya.
“Please, Lisa. Don’t. Jangan membebel dekat abang. Abang penat.
Esok baru abang dengar Lisa membebel, ya?” ucap Mikhail lalu dia mencuit hidung mancung
milik Malisa dan terus berlari ke atas.
Malisa mendengus
geram. Tak sempat lagi buka mulut pada
abangnya sejak akhir-akhir ini. dia tahu, Mikhail sedang asyik dengan mangsa baru
dan pastinya bukan Islam. Betapa kecewanya
dia pada sikap abangnya itu lantas dia membawa berita itu pada mamanya. Mungkin mama kecewa namun, dia mahu abangnya
itu diselamatkan.
Mikhail yang
nampak kekecewaan pada seraut wajah comel milik adiknya itu hanya
tersenyum. Dia tahu Malisa marah pada
dia tapi adiknya itu adalah seorang yang
memahami. Mulut saja kerap membebel
namun bila mama menuduh, Malisa kerap kali membela.
Daun pintu
ditolak. Bilik sederhana besar itu dia
pandang lama. Daun pintu tertutup rapat
dan dia terus membuka butang kemejanya satu persatu membiarkan dada bidang itu terdedah dijamah
penghawa dingin yang baru terpasang.
Kemeja biru
gelap itu dilepaskan daripada tubuh. Dia
terus menghempaskan belakangnya pada tilam.
Letih dan penat. Namun, dia
berpuas hati bila Juana tidak mahu lepas daripad dia biarpun sesaat. Dia bangga punyai teman wanita secantik dan
seseksi Juana. Yang pasti, dia mampu
membuktikan yang dia mampu meraih tangan mana-mana wanita yang dia suka.
Kipas yang kaku itu dipandang lama. Remote
dicapai dan ditekan menghala pada kipas itu.
Tak puas dengan kesejukan penghawa dingin, ditambah lagi dengan
kipas. Perlahan-lahan putarannya hingga
semakin ligat dan kala itu, Mikhail telan liur berkali-kali. Wajah Alaina muncul lagi.
‘Apa masalah
perempuan tu, ya? Nampak macam muda
lagi. Umur berapa agaknya tapi dah ada
anak ke?’ Pelbagai soalan berlegar-legar
dalam kepala Mikhail.
Pertama kali
tadi, dia tercuit juga melihatnya. Tudung
yang nampak basah sampaikan melekat ke dahi itu langsung tidak langsung
mencacatkan wajahnya. Hanya bibir yang
nampak sedikit kebiruan itu yang menampakkan wanita itu ketakutan mungkin.
“Yang pasti, dia
tak sehebat Juana!” putus Mikhail
sendiri tanpa dia tahu, yang wanita yang disebutnya itu sedang bergelut dengan
hidup.
Mata tertutup
seketika. Terlelap beberapa saat namun
tersedar kembali dengan peluh yang merenik di dahi kala terdengarkan suara
Alaina menyerunya. Aneh!
~~> bersambung

terbaekkk...
ReplyDeletex nk alaina dengan mikhail..pls kak rehan
ReplyDeleteasal?macam best ja alaina ngan mikhail.
DeleteAlamak dah terdengar seruan Alaina plak dah..hehehe..nice n3 RM..keep it up! chaiyok!!
ReplyDeleteekh alaina dengan mikail la..baru kontra.hee-hidayah idres
ReplyDeletebetul tu..
Deletehidayah md. nor ni pun sokong gak..
semakin menarik...
ReplyDeleteNice juga cerita ni :) congrats kak Rehan. Hmm, tapikan, STK dah takda ke? Sy nak sambungan STK :/ Please,please,please kak~
ReplyDeletekak RM...sy pn nk smbgn STK gak...pleassssssssssseeee...
Deletebagi je alaina keje kt umah mikhail.hihihi
ReplyDeletekhail mengigaukan Alaina... aduhhh gawat ni
ReplyDeleten3 pleeezzzzzzzzz
ReplyDeletemenarik cita baru ni...x sbr nk tau kisah yg berlaku..ke cinta 3 segi ni
ReplyDeleteantara mikhail adn adan..... sapa ya??
ReplyDeletesemakin menarik...
ReplyDeletedilema nak pilih adan atau mikhail.. dua-dua ada aura. haha
ReplyDeletetp jauh di lubuk hati macam nak dekat adan. hewhew :)
alaina oh alaina.. wee
ReplyDeletememang lain cite kali ni, dan sangat menarik, ^_^.
ReplyDeletemuda13
best dan teruja menantikan sambungannya..
ReplyDeletewahaha... khail da jatuh cintan kat alaina ke? sambung lagi kak RM...
ReplyDeletebest (y)
ReplyDeletebest..... sambung... sambung....
ReplyDeletenak alaina ng mikhail.. hehe
ReplyDeletenak alai ngan khail....
ReplyDeletekeep it up RM... sungguh best sangat... teruja akak..
ReplyDeleteNak alaina ngn errr errr...hihihi...
ReplyDelete-------> kena tgk jln cter ni dulu...baru leh buat keputusan... :-)
#nana jamil#
alaina n mikhail...hehe...bakal jd sweet cple kot..
ReplyDeletesambung sambung!alaina adan alaina adan!haha
ReplyDeleteRM, Alaina n Mikhail...tak sabar sambungannya! Terima kaseh ....
ReplyDeletehati rasa nakkkkkk alaina ngan adan ...mesti sweet kan
ReplyDeletebest...best....
ReplyDeletewow.. rm, kali pun terbaik.. mcm selalu..
ReplyDeletebyk main emosi.. tentu idea selalu mencurah2, kan?
ah sudah..cinta sudah berputik ek..2 hero nih! ok2 gambate!
ReplyDeletenice sngt... tp alaina dgn mikhail ke? nk dgn adan... hehe
ReplyDeleteklau dpt anak mcm mikhail ni mmg la pening kpala mama dia..nak kata salah mama mendidik x juga. yg penting diri sndiri...
ReplyDeletebile bace n3 nie, emosi sy turut terganggu..
ReplyDeletejln cerita yg baik..
congratz RM..